Wednesday, June 24, 2020

Taaruf

Berjumpa kenalan baru lagi, sekali lagi taaruf mengenai diri diulangi..

"suami kerja mana?" dia menyoal seperti biasa. Tiada yang luar biasa dengan soalan itu kerana memang biasa dengan perbualan begitu. 

"suami saya sudah meninggal.."  saya menjawabnya dengan menahan sebak di dada.
Lidah masih lagi kelu dan kesah menjawabnya.

Sudah tahun ke sepuluh dia pergi pun masih lagi tidak tertanggung rasa ini. Bukan tidak redha, tetapi perasaan itu berat,

Rindu. Menyakitkan.

Allah lebih Tahu.

Cebisan kisah - pesanan masuk (inbox)


"Hai..." 

pesanan masuk di Mesengger.
Saya melihat profile FB nya. Lihat gambarnya, tidak pernah kenal. Lelaki mana ini.

Oh abaikan saja.

Pesanan itu tidak berbalas dan dibiarkan sepi begitu saja.

"Hi, awak buat apa tu?" 

Pesanan masuk lagi.. kali ini, orang lain pula. Saya lihat gambar profil di FB nya. Lelaki dan ada mutual friend. Ramai juga mutual friend , tetapi saya tidak pernah mengenalinya.

Saya tidak membalas pertanyaannya.
Cukup sampai di situ, demi menjaga hati saya dan hati dia. Perbualan harus dielakkan untuk menjaga hati kedua-dua pihak.

Ting! 

Pesanan yang lain pula masuk, 

"Baya buat apa sekarang, duduk di mana?"
"Anak-anak sihat?"

kali ini pesanan dari orang yang pernah saya kenal dan rapat sebelum ini. Lelaki juga. Saya keliru harus membalasnya atau tidak. Di sini ujian hati bermula. Dilayan salah, tidak melayan pun rasa serba salah.

Akhirnya saya membalas.

"Alhamdulillah, saya dan anak-anak baik-baik saja."

Kemudian dia mula bertanya soalan yang lainnya,

tetapi saya membiarkan soalan itu tidak berjawab. Diam dan sepi begitu saja.

Ya, semoga itu lebih baik untuk saya menjaga hati saya dan hati dia.. 

Ini hanya cebisan kisah saya sepanjang menjadi balu. 

Tidak mudah menjaga hati dan menjaga diri, namun selalu di dalam hati berdoa semoga Allah pelihara dan jaga perilaku saya. 

اللَّـهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي

“AlLahumma kama hassanta khalqi, fa hassin khuluqi.”

Ya Allah sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku.

#mawarmenulis

Pengganti?

ada yang mempertikaikan tentang lelaki jika kematian isteri, mudah saja cari pengganti. Perempuan pula lebih banyak memilih untuk setia.

Katanya. Kata mereka.

Ini pula kata saya.

Tidak semua, dan tidak harus kita memikirkan begitu dan begini tentang soal hati dan jodoh.

Jodoh itu rahsia Allah.

Hati itu milik Allah.

Fitrah manusia itu ingin berpasangan, dan fitrah lelaki memang inginkan perempuan sebagai teman.

Tetapi perempuan itu lebih mudah terusik emosinya. Hati perempuan mudah tersentuh, sebab itu ramai memilih untuk terus setia dengan suami pertama kerana naluri perempuan yang mudah tersentuh dengan kenangan lamanya.

Ada juga yang bertemu jodoh baru, tidak boleh kita menyangkal dan menuduh mereka tidak setia. Siapa kita untuk menghakimi hati manusia yang sifatnya boleh berubah-ubah.

Saya. Dia. Atau sesiapa sahaja.

Semoga diberikan cinta manusia yang membawa kita mengenal Cinta - Nya.

itu yang lebih utama.

Dan saya, masih kekal bercinta dengan Ahmad kerana pemergiannya membawa saya mengenal cinta yang sebenarnya.

إنا لله وإنا إليه راجعون

Innalillahiwainnailaihirojiun.

#mawarmenulis

Jodoh



"I love you, only you" - ayat yang sering Ahmad tulis apabila dia ingin memujuk saya.

Saya tahu, saya bukanlah yang pertama hadir dalam hidupnya, dan dia juga tahu dia juga bukan yang pertama hadir dalam hidup saya. Kami pernah berkenalan dengan orang lain juga sebelum kami membuat kata putus untuk bernikah.  Kami pernah berselisih faham sebelum bernikah, hampir rasa tidak berjodohan lagi waktu itu.  

Lumrah pasangan bercinta akan berselisih faham, berbeza pendapat dan bergaduh tentang hal-hal yang sebenarnya boleh dibawa bincang dan mencapai kata sepakat. Tapi benarlah, kalau dah jodoh, tidak akan ke mana. Hari ini gaduh, esoknya akan berbaik semula kerana Jodoh menguatkan. 

Jodoh itu Ketentuan Tuhan. Saya syukur kerana saya  dipilih menjadi  jodohnya yang pertama dan terakhir.  Ternyata ayat yang sering diucapnya bila memujuk saya itu benar. I am his one and only. ❤️

Bagaimana pula dengan saya? adakah dia jodoh pertama dan terakhir saya? Jujurnya saya sangat takut untuk memikirkannya namun saya juga harus bersedia dan matang dalam memikirkan tentangnya. Doa dan harapan saya sentiasa mengharapkan dialah jodoh saya di dunia dan di akhirat nanti. 

Jodoh dan maut sering dikaitkan, kerana sifatnya sama. Jodoh itu sangat misteri dan penuh keajaiban dan rahsia . Tidak siapa pun tahu bila, bagaimana dan dengan siapa. Begitu juga dengan maut, tiada siapa tahu bila, bagaimana dan siapa akan meninggal dahulu.  

Jadi, jika ada yang bertanya tentang jodoh bagi yang belum berkahwin atau sudah kematian suami mahupun bercerai, bila orang tanya soal Jodoh, kita tanya pula kepada dia tentang Maut. Kalau ditanya  "bila kau nak menikah?" balas saja, "bila kau nak meninggal." Eh! 😂

#mawarmenulis 
#sharingthoughts
#merapuje

Intai aku di sini

Protect your heart and yourself from being hurt by others. Ignore things that make you sad, be brave and strong. 💪The energy is within you. You create positive minds, you will be positive. ❤️

Kau tidak penting untuk aku lagi.

Tak usah hadir dalam fikiran ini. 

Kau buat saja cara kau,

Aku dengan cara aku.

Jangan kau intai aku di sini lagi,

Dan aku tidak akan menjengah kau di sana.

Bukan aku benci kau, tetapi kau yang mengetepikan aku dahulu.

Aku tidak akan ambil tahu tentang kau lagi. 

Itu cara aku menjaga diri.

Kerana aku tidak mahu disakiti.

Titik.

#mawarmenulis
#justsaying

Saturday, May 30, 2020

Mengurus Kewangan Peribadi

Bermula daripada bawah, akaun simpanan di bank hanya rm50, tiada simpanan tetap dibuat kerana baru setahun dua usia perkahwinan dan hanya seorang surirumah dan tidak pernah bekerja. Itulah saya, pada tahun 2011.

Kehilangan suami membuatkan saya terkapai-kapai, mencari arah dan petunjuk jalan untuk mengemudi dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak yang ditinggalkan. Urus tadbir harta anak-anak yatim bersama dengan peninggalan sedikit wang simpanan di akaun bank Ahmad. Tanggungjawab yang besar dan mencabar bagi saya. Namun saya cuba sedaya upaya melakukannya dengan sebaik yang mampu. 

Kami bukan daripada keluarga kaya dan mewah. Ahmad  latar belakangnya anak kampung baru bermula kerjayanya di luar negara, nampak seperti jawatan besar namun ianya cuma tanggungjawab besar yang diamanahkan. Bekerja bukan mengejar pangkat dan harta, tapi untuk meneruskan kehidupan dan berbakti kepada orang sekeliling.

Saya pula, juga bukan orang kaya mahu pun daripada keluarga kaya, pengalaman hidup keluarga mengajar saya erti naik turun hidup ini. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadangkala kita di bawah, kadangkala kita di atas. Papa pernah mewah namun Papa juga pernah muflis. Satu kenangan dan pengalaman indah yang tak mungkin saya lupakan. Pengalaman ini mencorak pemikiran dan gaya hidup saya. Saya belajar erti berjimat cermat serta mengawal diri untuk membeli sekadarnya. Mengikut keperluan diri dan peruntukkan yang ada sahaja.

Persiapan diri perlu dibuat untuk menghadapi kemungkinan hari mendatang. Saya sendiri agak ralat kerana tidak pernah menyimpan wang semasa di awal perkahwinan kami. Namun masa tidak boleh berputar kembali, apa yang saya lakukan adalah berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi. 

Sebelum menyimpan dan membuat perancangan kewangan, saya belajar daripada buku penulisan berkaitan kewangan, cara mengurus kewangan, buku berkaitan pengurusan harta anak-anak yatim dan faraid. Sungguh sebelum kematiannya ilmu saya amat sedikit, saya tidak cakna perihal pengurusan kewangan. Setelah ujian menimpa, saya tercari-cari arah dan jalan untuk perbetulkan semula keadaan ekonomi keluarga kami demi untuk membesarkan kedua orang puteri saya. 

Saya tidak kisah digelar ulat buku, pembaris dan terlalu mengikut buku. Saya hidup untuk membetulkan apa yang silap di masa lalu dan untuk kehidupan masa akan datang. Tanpa ilmu, saya tidak mungkin mampu membuatnya dengan betul. 

Saya ringkaskan di sini isi-isi penting yang saya perolehi dari pembacaan saya mengenai pengurusan kewangan dahulu. Bukunya terlalu banyak dan saya hampir lupa tajuknya. Tapi saya huraikan isi penting dan apa yang telah saya pratikkan selama ini. 

ini sesuai bagi yang baru hendak bermula dari bawah.

Pertama
Senaraikan bajet atau peruntukkan kewangan anda. Mulakan dengan perbelanjaan yang harus ditanggung setiap bulan. Senaraikan satu per satu keperluan kita. KEPERLUAN sahaja bukan kehendak ya! Bajet selalunya harus lebih daripada perbelanjaan sebenar untuk mengelakkan berlakunya kekurangan wang di tangan. 

Kedua
Bila sudah tahu bajet yang diperlukan setiap bulan, rancang perolehan yang perlu kita ada. Tetapkan perolehan (income) yang perlu kita perolehi untuk menampung perbelanjaan keperluan bulanan kita itu. 

Mula bertindak untuk berusaha mencapai jumlah perolehan itu.  Semoga berjaya, dan yang penting percaya bahawa Allah Pemberi rezeki, kita kena usaha dan selalu berdoa kepadaNya. 

Baiklah, cara yang lain pula bagi yang sudah ada kerjaya dan perolehan tetap. Caranya kena terbalik dengan di atas. 

Pertama. 
Ambil tahu berapa perolehan bulanan anda. 

Kedua. 
Senaraikan keperluan bulanan anda dan buat bajet bulanan. Bajet ini harus merangkumi keperluan, simpanan dan sedikit kehendak. 

Ketiga. 
Peruntukkan income yang anda ada untuk tujuan zakat, simpanan, insurans, wang kecemasan dan derma kilat. 

untuk simpanan, saya gunakan cara membuka akaun bank yang berlainan dengan akaun gaji. Akaun itu haruslah akaun yang anda jarang sentuh dan kad bank akaun itu disimpan diam-diam serta tidak ada online banking bagi bank tersebut. Biar susah nak ambil supaya takde gatal tangan nak guna. 😂

cara lain juga, simpanan melalui insurans takaful, cara ini lebih mudah dan bersifat jangka panjang. Memang kita tak akan nampak duit simpanan itu, tapi percayalah, satu masa bila simpanan itu matang, kita akan ada simpanan masa hadapan. 

Jangan lupa juga, simpanan untuk tabung haji. Berazam untuk pergi haji tapi tak pernah menyimpan untuk pergi haji. Seolah-olah nak minum air sebab dahaga, tapi tak pergi ambil air, Mana nak hilang hausnya. 😂

Wang derma kilat juga harus dibuat kerana kita tidak tahu, setiap bulan pasti ada yang memerlukan, tidak peminta sedekah, adik-beradik atau kawan-kawan yang terdesak memerlukan pertolongan. Tolong selagi kita mampu dan ada. Mungkin hari ini kita tolong dia, esok hari kita, ada orang lain akan datang menolong kita. Cuma jangan kita mengharapkan orang yang sama kita tolong itu akan menolong kita bila kita memerlukan dia. Sifat memberi ini harus ikhlas, tidak mengharapkan balasan dan semata-mata kerana Allah dan kasih sayang manusia. Allah pasti akan menolong kita dengan pelbagai cara apabila kita tidak berkira menolong orang. InshaAllah. 

Kita juga harus belajar untuk memikirkan untuk melabur sumber kewangan yang kita perolehi dengan membeli aset. Rumah misalnya atau pun emas. Kedua-dua ini bersifat pelaburan jangka panjang. 

Kenapa perlu memikirkan jangka panjang walaupun kita tahu akhirnya kita semua akan MenemuiNya, bila meninggal anak Adam, hanya tinggal tiga perkara ilmu bermanfaat, amal jariah dan doa anak yang soleh. Kita tinggalkan aset yang selesa dan kehidupan yang baik buat anak cucu kita supaya mereka dapat menyambung ibadah kita dengan memperbanyakkan sedekah. Semoga itu pahala jariah yang berpanjangan buat kita bila kita meninggal nanti. Aset yang ditinggalkan, anak-anak kita gunakan untuk kelangsungan hidup mereka dan jika mereka melabur untuk membuat sedekah jariah, semoga pahala itu juga turut mengalir buat kita di alam kubur nanti. Sebab itu pentingnya mengumpul aset dunia juga. Subhanallah. Sungguh, hidup ini kita saling memerlukan walaupun kita berbeza alam. 

Itu serba sedikit ilmu yang saya belajar melalui pembacaan buku pengurusan kewangan peribadi dan tarbiah rohani. Semoga bermanfaat hendaknya dan penulisan ini menjadi peringatan buat diri saya sendiri juga. 

Sabar itu cantik 🌹

#mawarmenulis 
#tipskewanganperibadi

Thursday, April 2, 2020

Rakaman cerita indah

melihat BCL seperti melihat diriku 9 tahun yang lalu. Saat perginya kekasih hati secara tiba-tiba.

Kelu, sedih dan bagai separuh nyawaku hilang bersamanya.

Penuh kisah cinta yang indah-indah ditulis di statusku, supaya aku tidak pernah lupa saat manisku bersamanya.

Hidup harus diteruskan, sejauh mana sekarang aku melangkah, hatiku tetap dekat dengan kenangan lalu aku dengannya. Kerana aku tidak pernah mahu melepaskannya.

Tulisan ini cuma cerita, cerita yang merakam kisah indah aku dan dia.

Saban hari saban tahun aku semakin tua, saat aku sudah lupa dan nyanyuk, semoga tulisan ini menjadi memori indah untuk aku ulang dan baca.

Kisah mawarnafastari buat tatapan semua, kerana tiada cinta yang abadi selain Dia.

cintakan bunga, bunga akan layu,
cintakan manusia, manusia akan mati,
cintakan Allah, selamanya Dia tetap ADA.

#mawarmenulis
#justajourney
#sepdsi

Selamat Hari Raya 2023