Sunday, August 22, 2021

Bicara Buku 'Hikmah Yang Tersirat(diari seorang diplomat)'-Wan Ahmad Fadzil

Bicara Buku 'Hikmah Yang Tersirat(diari seorang diplomat)'-Wan Ahmad Fadzil

1.Boleh puan cerita tentang latar belakang buku ini dan siapakah Wan Ahmad Fadzil (WAF)?

Buku ini merupakan koleksi  catatan blog suami saya iaitu Allahyarham Wan Ahmad Fadzil. Catatan tersebut adalah mengenai pengalaman kami semasa tinggal di Islamabad,Pakistan. Cerita ini mengupas tentang budaya,adat, pemikiran dan amalan beragama di Pakistan.
Wan Ahmad Fadzil merupakan anak kelahiran Setiu. Dibesarkan di Kampung Bari Besar,Setiu. Bersekolah rendah di Sek.Keb.Bari dan SMA Setiu. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang undang-undang. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2005 dan ditempatkan di Kementerian Dalam Negeri di Jabatan Imigresen. Tahun 2009, beliau ditugaskan sebagai Atache Immigresen di Kedutaan Malaysia di Islamabad,Pakistan. Tahun 2011 beliau telah kembali ke rahmatullah.

2. Bermaksud buku ini hasil tulisan Allahyarham di blognya iaitu Nafastari.blogspot.com. Allahyarham seorang penulis yang baik, betul kan? Pernahkah Allahyarham menulis di mana-mana sebelum ini?

Ya, betul. Allahyarham seorang penulis yang baik. Menurut kakak ipar saya( Kak Zu), Allahyarham pernah menulis teks cerita kisah nabi untuk pertandingan bercerita kisah nabi sekolah rendah peringkat daerah Kota Tinggi, memasuki pertandingan mengarang essei sempena hari belia tahun 1999, menulis komen di dalam akhbar, pernah mencuba untuk menulis novel tetapi tidak siap. Dia juga merupakan wakil sekolah dalam acara bahas dan merupakan ketua editor di majalah sekolah dia di SMA Setiu. Pendek kata, dia memang minat menulis sejak kecil.

3. Mungkin puan boleh kongsikan pengalaman manis dan pahit ketika berada di Pakistan? Dan apakah perasaan ketika berada di sana?

Pengalaman manis:
Terlalu banyak pengalaman manis di sana. Kami dapat mengenal budaya orang dan melihat sesuatu di perspekstif yang lain dan berbeza. Selain itu, saya juga dapat melihat tempat-tempat yang bersejarah dan menarik di Pakistan seperti Lahore,Karachi, Muree,Peshawar,Faisalabad dan lain-lain. 

Pengalaman paling saya tak boleh lupakan adalah sewaktu salji turun dengan lebatnya di Muree pada tahun 2010. Alhamdulillah, saya dapat melihat antara tanda-tanda kekuasaan dan keindahan ciptaan Allah.
Saya juga melahirkan anak kedua saya di sana. Itu juga antara pengalaman manis saya semasa menetap di Islamabad. Alhamdulillah.

Pengalaman pahit:
Kawalan keselamatan di sana terlalu ketat. Di mana-mana sahaja pasti ada pengawal keselamatan dan askar. Kami di sana harus sentiasa berhati-hati sekiranya ada ancaman bom dan taliban. Namun segala-galanya kami serahkan pada Allah. Orang kata, tawakal sahajalah kerana hidup dan mati kita kerana Allah. Jadi kami walaupun kadang-kadang takut mati dibom tapi kami yakin ajal maut itu ketentuan Allah.

Perasaan di sana, pada mulanya saya takut dan gementar kerana memikirkan soal keselamatan di sana. Namun lama-lama kami berserah dan bertawakal pada Allah. Dengan itu kami dapat hidup seperti orang normal dan tidak lagi ada perasaan takut. Alah bisa tegal biasa.

4. Ketika itu anak-anak berapa usianya? Kenapa di dalam buku ini digunakan nama Mawar, Embun dan Kekwa?

Sewaktu kami mula-mula tiba di Islamabad, anak sulung saya berusia 44hari. Saya masa itu baru lepas pantang bersalin anak pertama. Saya melahirkan anak kedua saya di sana pada tahun 2010.

Kenapa guna nama Mawar, Embun dan Kekwa?

Sebenarnya semua nama itu adalah nama pena dan bukan nama sebenar. Nama pena itu direka oleh Allahyarham bagi merujuk kami dalam penulisan beliau.
Mawar- kerana saya merupakan Mawar kepada Nafastari atau simboliknya bunga kepada kumbangnya.
Embun- kerana nama anak sulung saya Wan Nadaa yang diambil daripada perkataan arab Nada' iaitu maksudnya Embun.
Kekwa- nama anak kedua pula adalah Wan Marwa. Nama singkatannya Wawa. Sewaktu lahir bau Marwa sangat wangi dan ayahnya suka menyebut 'wawa yang wangi.' Oleh itu, dia menggunakan simbolik Kekwa nama bunga sebagau menunujukkan wangi seperti bunga.

5. Apakah keistimewaan buku Hikmah Yang Tersirat?

i. buku ini merupakan wasiat tauhud seorang ayah kepada anak-anak.
ii. Buku ini dapat membuka minda pembaca mengenai kehidupan dan perspektif budaya di negara Pakistan.
iii. Buku ini mempunyai 'hikmah yang tersirat' bagi mereka yang benar-benar menghayati buku ini.

6.Boleh puan ceritakan sedikit bahagian yang paling menarik dalam buku ini? Yang puan paling suka baca dan kenapa?

Bab yang saya paling suka adalah 'Catatan buat anakanda kedua' yang mengisahkan tentang pesanan seorang ayah kepada anaknya. Tulisan itu benar-nenar berharga buat kami bertiga. Di situ dia menerangkan tentang kelahiran anak kami yang kedua sewaktu di Islamabad dan juga terselit wasiat tauhid kepada anak-anaknya supaya berpegang teguh pada ajaran Islam yang sebenarnya.

7. Dalam buku itu puan ada menulis iaitu bab terlahir. Boleh puan ceritakan sedikkt kisah di sebalik Jalan Pulang yang menjadi tajuk itu?

Sebenarnya saya memasukkan bab terakhiritu penulisan saya kerana menurut editor, cerita atau kompilasi blog itu agak tergantung. Tiada pembuka dan penutup. Oleh itu di bahagian permulaan saya menambah sedikit tulisan saya dan bab akhir iaitu Jalan Pulang itu saya tulis di blog saya selepas dua minggu kematian suami saya. Cerita itu ditulis kerana saya menerima banyak soalan yang sama tentang bagaimana kemalangan itu berlaku. Terlalu berat dan payah untuk saya luahkan atau certikan tentang kejadian itu. Oleh sebab itu, saya menulis tentang kejadian itu di blog dan bila orang bertanya,saya akan foward saja penulisan itu pada orang yang bertanya.

8. Apa yang puan ingin kongsi pada pembaca?

 Saya berharap pembaca dapat manfaat daripada buku ini dan dijadikan iktibar. Semoga buku ini menjadi jariah yang berterusan kepada Allahyarham. Insya-Allah. 

9. Terakhir, soalannya adakah puan terfikir untuk membuat kesinambungan buku?

Sebenarnya buku ini diterbitkan kerana saya ingin memenuhi hasrat dan impian arwah suami saya yang teringin menerbitkan sebuah buku sendiri. Saya berharap penulisan dia ini dapat menjadi jariah yang berterusan buat dia di alam barzakh. Semoga segala amal kebajikan dia kongsi ini dimanfaatkan buat kami sekeluarga dan pembaca. Setakat ini masih belum ada perancangan untuk membuat kesinambungan tetapi mungkin satu hari nanti buku ini boleh diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris pula dan mendapat pasaran antarabangsa. Siapa tahu kan? Insya-Allah.
.
.
.

.

Dan masa berlalu... Takdir dan perancangan Allah itu Maha Hebat,  dengan izin Allah terbit juga kesinambungan buku Hikmah Yang Tersirat ini. 

SETELAH ENGKAU PERGI, Nur Mawarnafastari 💝

Sunday, June 6, 2021

Anak Manja Mama

Saya ni anak manja mama. Anak bongsu la katakan..mana-mana pergi pun mama mesti ada, kalau tak ada, setiap jam dia akan call tanya "adik, buat apa? Kat mana, masak apa,makan apa..."

Riuh, mak kan.. selalu nak tanya khabar anak, nak tahu anak sihat ke tidak, walau kita dah besar pun dia tetap pandang kita ni macam baby yang dia kena jaga dan beri perhatian.

Masa dulu saya tak faham sebab saya tak jadi seorang mak. Sekarang, bila nak mula jadi mak kepada anak-anak sendiri, saya mula faham dan benar-benar mengerti hati dan perasaan seorang mak.

Mama selalu perhatikan kami, matanya selalu melilau nak tengok kami buat apa masa di rumah. Selalu jenguk pintu bilik kami tengok apa kami buat masa remaja dulu. Selalu telefon bila dia di tempat kerja, nak pastikan anak-anak sihat dan sudah makan.

Balik kerja, mama siapkan keperluan yang lain macam basuh baju, memasak, beli barang dapur. Dah siap selesaikan tugasan rumah, mama akan tidur. Saya selalu menegur, " Mama ni asyik tidur ja.."

Sekarang bila dah jadi mak, bila bekerja dan sendirian kena buat semua kerja, baru saya mengerti yang sebenarnya dulu mama sangat penat. Mama tidur sebab dia terlalu penat menunaikan tanggungjawab dia sebagai ibu nak pastikan anak-anak cukup makan, pakaian bersih dan ada tempat tinggal yang selamat.

Saya baru mengerti, mama jenguk kami di bilik dahulu ingin memastikan kami buat apa. Setiap hari saya pun buat perkara yang sama pada anak-anak saya. Saya jenguk mereka di bilik dan di ruang tamu jika mereka sedang bermain. Saya ingin perhatikan mereka buat apa dan memastikan mereka sihat dan selamat.

Tidak ada sehari pun diri ini tidak memikirkan tentang mama. Tidak ada. Setiap kali saya masak nasi untuk anak-anak, saya akan teringat baiknya mama masak setiap hari untuk kami sewaktu dia masih ada.

Setiap kali saya melihat anak-anak saya, saya akan mula mengingati setiap perlakuan saya dengan mama dahulu. Adakah saya menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Saya kadang selalu merajuk dan memberontak juga. Sabarnya mama dengan perangai anaknya. Kalau mama sabar, saya pun mesti bersabar juga dalam mendidik anak-anak saya.

Doa ibu antara doa yang mustajab. Saya sering melihat mama berdoa dengan lama di atas sejadah.Setiap doanya pasti untuk kami dan sekarang mama sudah tiada. Tidak ada lagi doa ibu yang boleh mendoakan saya. Tapi saya akan tetap selalu mendoakan mama saya.

Setiap kali masak, saya niatkan pahala untuk mama yang mengajar saya untuk masak. Setiap kali saya rasa kecewa,sedih dan buntu dalam membesarkan anak-anak saya doakan pahala untuk mama yang mengajar saya supaya menjadi orang yang kuat dan sabar macam mama.

Sukarnya menjadi diri sendiri, berperang dengan perasaan setiap hari!

Mengingati mereka yang telah pergi tanpa henti dan semoga dengan mengingati mereka ini mendekatkan juga saya pada Pemilik hati.

Allah.

Sungguh, tidak ada kata yang boleh menghilangkan rasa sedih ini selain benar-benar memahami dan menghayati kalimah ini,

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ)

Sunday, May 9, 2021

Bagaimana cara bangkit dari kesedihan kematian?

Ramai selalu tanya saya... macam mana saya boleh lalui kesedihan pemergian orang yang tersayang... dan berapa lama saya ambil untuk move on dan bangkit dari kesedihan?

Saya tiada jawapan untuk itu.

Sungguh sahabat, tiada limit masa bagi setiap kesedihan yang hadir dalam diri kita.

Perasaan itu datang dengan sendiri. Kita kuat kerana Allah memberikan kekuatan buat kita. 

Tidak mudah melaluinya..tapi ada sesuatu yang saya ingin kongsi di sini..

Sekiranya kita melihat semula dan merenung kembali sebab kita dilahirkan di dunia.. bagaimana kita bermula dan bagaimana nanti kita berakhir.. kita tidak akan punya masa untuk bersedih lama-lama. Terus memandang 'masa depan' yang lebih panjang tempohnya. Bersediakah kita mengumpul bekalan untuk ke Sana?

Itu menjadi persoalan dan titik mula saya memandang sisi kesedihan ini. Kesedihan ini akan berlalu pergi, kita teruskan hidup yang masih berbaki dengan mengumpul segala bekalan yang kita mampu. 

Kerana kita di dunia ini hanya Sementara dan destinasi utama kita idamkan adalah untuk ke Syurga, temui Allah yang kita cinta. ❤

Insya-Allah.🌹


Friday, May 7, 2021

Keliru Sendiri

Kadang aku sendiri keliru dengan perasaan sendiri...

Apa agaknya rasa punya pasangan dan bercerita mengenai perkembangan anak-anak sendiri..

Bercerita dan berkongsi pandangan cara terbaik membesarkan anak-anak bersama-sama.

Aku tidak ada peluang itu. Malah, kalau diberi peluang lain, tidak akan mungkin sama!

Sungguh, dunia kini amat mencabar.

Anak-anak kian masuk ke alam remaja. Semakin besar cabaran untuk dipikul sendirian.

Kadang aku mencari arah tuju sendiri. Bagaimana cara aku mendidik anak-anak ini. 

Betulkah, tepatkah, sesuaikah?

Persoalan yang aku sendiri tiada jawapan. Aku tiada teman berkongsi perasaan yang sama seperti kalian yang ada pasangan.

Yang masih ada pasangan, berbincanglah bersama-sama selagi masih punya kesempatan.

Yang pasangan acuh tidak acuh, bersyukur sajalah masih ada si dia mendengar bebelan dan keluhanmu.

Aku di sini masih merintih dan menulis rasa hati. Sukarnya hati meluahkan, maka terzahir dalam penulisan ini.

Tidak, aku tidak mahukan simpati.

Sakit sendiri. Aku sudah biasa begini. 

Pinta aku, doakan anak-anak yatimku ini membesar menjadi anak-anak yang solehah dan orang yang Allah sayang.

#mawarthoughts 
#mawarmenulis

Friday, April 30, 2021

Setelah Engkau Pergi

Setelah Engkau Pergi sudah terbit!

Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah..Hanya dengan izin -Nya buku ini dapat disiapkan juga walaupun memakan masa bertahun lamanya untuk saya mencari rentak penulisan buku.

Segala catatan pengalaman ibu tunggal ditulis di dalam buku ini. Catatan Mawarnafastari dibukukan dan diterbitkan oleh Bonda Nor Resources.

🌹

Awak,

Buku ini bukan buku cerita dongeng yang direka..

Mungkin ada sikit campur aduk peristiwa dalam cerita, tapi itu kisah benar belaka. Tidak dibuat-buat. Tidak ditokok tambah.

Tulus. Daripada hati saya.

Melontarkan segala emosi dan memori yang saya ada. Tidak mudah kerana saat menulis itu banyak air mata yang telah tumpah.

Setiap bait ditulis merupakan hati saya, hati yang mengingati setiap kebaikan mereka yang telah tiada.

Setiap tulisan jiwa itu membuatkan saya dekat pada Tuhan, kerana dengan menulis saya turut bermuhasabah diri.

Bukan mencanang cerita sendiri, bukan, jauh sekali..

Bukan hendak menyohor ada cinta sejati..bukan... tidak sekali...

Tetapi saya mahu kongsi...hikmah tersirat...
Cinta yang hanya Kekal Abadi... hanya pada Tuhan kita Kembali.


Selamat Hari Raya 2023