Tertulislah kisah tentang bunga mawar, di tengah belukar yang penuh dengan duri...
Saturday, April 22, 2023
Sunday, December 11, 2022
Kenapa awak pilih saya?
Pernah dahulu zaman baru kenal encik suami, saya tanya dia kenapa dia nak pilih saya jadi isteri dia?
Jawab dia,
"Tuhan ketemukan saya dengan seorang perempuan yang sangat penyabar. Semoga Dia menjadikan perempuan itu milik saya. Sebab tu la... Satu lagi sebab muka Nur macam ustazah! Sebab tu juga la Ahmad jatuh cinta pandang pertama."
.
.
Aaaa... Cewah!!
Begitulah.. ragam kasih #MawarNafastari zaman baru nak kenal hati budi.
Hari ni tengah kemas rumah terjumpa diari lama, jumpa nota kecil yang saya salin semula ayat di SMS zaman dulu.
Aih..mujur ada simpan kenangan macam ni.
Tetiba rasa bahagia semula bila baca nota kecil ni.
Indahnya perasaan kasih seorang isteri buat suami kan.
Semoga kami dapat bertemu kembali di Syurga yang abadi.
'Allah.. kami mohon doa dan selalu berdoa agar kami layak masuk ke Syurga-Mu walau kami rasa tidak layak. Sungguh terlalu banyak dosa yang perlu disesali setiap hari selagi masih hidup ini.
Hanya dengan rahmat Allah manusia layak ke Syurga. Kami mohon ampun dan rahmat-Mu selalu, Tuhan sekalian alam.'
Monday, December 5, 2022
Catatan buat anakanda kedua
Anakanda Kekwa yang wangi,
Di hari lahir yang ke -12 ini izinkan umi titip semula perkongsian dan pesanan ayah buatmu sewaktu ayah masih hidup.
Pesan Ayah buat Kekwa :
Marwa adalah nama kamu dan Kekwa adalah nama melayu kamu yang ayah gunakan untuk merujuk dalam penulisan.
1. Ayah pernah azan ke telinga kamu sewaktu kelahiran supaya kamu terbiasa dengan kalimah-kalimah suci itu.
2. Ayah juga ingin kamu tahu kamu telah dilahirkan sebagai seorang Muslim.
3. Jadilah kamu seorang Muslim yang taat yang mengamalkan segala ajaran Islam dengan sebenar-benarnya walau ke mana pun kamu pergi,
walau bagaimana besarnya perbezaan antara mereka dengan kamu dan biar pun mereka menganggap kamu pelik dan asing semata-mata kerana kamu mengamalkan ajaran agama kamu.
4. Ayah juga berpesan kepada kamu sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya yang diceritakan dalam kitab suci kita al-Quran,
Janganlah anakku sekali-kali kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan syirik itu adalah sangat zalim, serta berbuat baiklah kamu anakku kepada kedua-dua ibu bapa kamu.
5. Kamu harus baik-baik sama kakakmu Embun. Selamat datang ke dunia, Kekwa.
.
.
.
.
Ayah pasti sangat berbangga dengan kamu Kekwa, terima kasih membesar dengan baik selama 12 tahun ini. ❤️
Selamat hari lahir yang ke 12 tahun Wan Marwa 🎉🥳🥳🌼
#kekwanafastari
#pesanayahbuatkekwa
Tuesday, November 15, 2022
BERGANTUNG HARAPAN
Orang perempuan ni bab tarikh-tarikh penting dan bersejarah dalam hidup dia akan jadi sangat particular.
Sangat sensitivelah orang kata.
Contoh tarikh birthday, tarikh ulangtahun perkahwinan, tarikh lahir pasangan dan bagi yang lebih tragis tarikh kematian orang yang tersayang.
Sebab saya perempuan maka saya tak boleh lari dari perasaan mellow ni.
Nak jadikan cerita sekarang dah bulan November.
Maka semakin menghampiri bulan December.
Bulan yang penuh kenangan manis dan kenangan pahit juga.
Bulan anniversary saya dengan arwah suami dan juga bulan pemergian bonda tercinta.
Ikutkan anniversary tahun yang ke 15.
Mama pula meninggal dah tahun ke 8.
Yes, i will keep on counting years sampai lah menutup mata yang terakhir.
Because i am human. Tak kuat mana pun tapi kena memilih untuk terus tabah dan percaya perancangan Allah selalu yang terbaik.
Kalau orang lain mungkin dah boleh planning nak pergi celebrate anniversary ke tempat best dengan pasangan. Ya lah kan dah tahun ke 15 kan!
15 tahun!
And actually saya sempat 3 tahun je celebrate dengan Ahmad. Dan tahun-tahun seterusnya tetaplah mengimbau dan mengenang kisah-kisah manis saya dan dia.
I am living with memories. And that keeps me GOING. 12 years dah gila buat begitu dan akan tetap gila mengenang masa lalu itu. ☺️
Dan tentang mama pula terlalu banyak saya telan dan pendam. Mak kandung yang melahirkan kita, membesarkan kita dan ada bersama-sama susah dan senang saya.
8 tahun tanpa mama. Sukar tapi terpaksa juga melangkah terus. Allah telah Menentukan perjalanan ini dan saya harus redha. Bergantung harap hanya pada Dia itulah yang lebih utama.
Bukan semua cerita duka dan gembira saya akan tulis. Setengah cerita disimpan untuk diri dan diluah dalam doa yang panjang sekali.
Mujahadah tentang kehidupan dan ibrah setiap kematian membuatkan saya merasai manisnya meluahkan rasa pada Dia.
'Tuhan,
Terus kuatkan aku, keluargaku dan pandu aku ke JalanMu selalu.
Semoga segalanya akan berakhir dengan kisah yang indah dan kasih sayang keluargaku sentiasa mekar sehingga ke Jannah.'
.
.
#mawarmenulis
#mawarkeepgoingplease
Friday, June 24, 2022
Soalan cepumas yang berulang.
Soalan cepumas yang berulang.
Dalam satu majlis keramaian ada seseorang yang sudah lama saya tidak berjumpa datang mendekati saya.
"Awak tak nak cari jodoh lain?" Tanya dia kepada saya.
"Saya tak mencari..."Saya cuba berlagak tenang menjawab soalan dia.
"Ya lah kan, tidaklah mencari tapi kalau ada jodoh terima la.." Dia menyambung perbualan.
Saya cuba untuk senyum tapi kelat.
"Iya... Apa pun saya memikirkan anak-anak perempuan saya dahulu."
Dia akhirnya senyum dan mengerti.
"Betul juga, anak perempuan harus dijaga sebaiknya. Risau juga kan. Semoga yang baik-baik saja untuk kamu. Sudah besar anak-anak kamu ya."
.
.
.
Alhamdulillah, pejam celik 12 tahun rupanya saya membesarkan mereka sendirian. Gambar ini berbicara kepada saya. Saat saya sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk membesarkan mereka, sebenarnya Allah Maha Mengetahui jalan hidup saya dan anak-anak ini.
Kita manusia ini lemah serba serbi. Kita cuma hamba. Seharusnya seorang hamba itu memohon doa dan terus berdoa pada Allah untuk memudahkan segala urusan kita.
La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah
Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
#mawarmenulis
Monday, February 28, 2022
Ombak dan rasa
Perit rasa kehilangan semakin pudar dan tawar..
Seakan rasa itu telah dibasuh ombak yang menghempas pantai..
Semakin kuat dihempas, rasa itu membuih dan akhirnya berlalu tenang dan hilang..
Kadang kita hanya perlu masa..
Mengikut arus air yang mengalir..
Bertenang-tenang mengikut jalan takdir yang ditulis-Nya..
Aku tanpa dia..
Buat tahun yang ke berapa aku sudah lelah mengira.
Namun aku tidak pernah lelah menyayangi dia.
Biar dia kini sudah tiada..
1 Mac dalam kenangan..
Al fatihah buat Allahyarham W Ahmad Fadzil
#nafastari
#mawarmenulis
Friday, February 25, 2022
kain biru muda Embun
Sebak pula bila handle pertukaran sekolah anak sulung.. dari sekolah rendah akan bertukar ke sekolah menengah..
Checklist umi..
✅ Dokumen sekolah menengah
✅ Contact van sekolah
❌ Baju sekolah
❌ Buku sekolah
Semoga lancar dan dimudahkan segala urusan anak-anak dan kami sebagai ibubapa menjalankan tanggungjawab dan amanah untuk membesarkan dan mendidik mereka. Semoga mereka jadi anak yang solehah, taat pada Allah setiap masa.
Embun masuk sekolah menengah!
Dan Mawarnafastari masih menulis... 🥰
Real life story journey Embun membesar dari sebelum lahir sampai hari ini umi masih catat di blog. Setiap catatan umi sebenarnya keluhan dan luahan umi cuba nak sampaikan pada ayahmu Embun.
Keep going...and Fighting! 💪
#mawarmenulis
#embunyangsulung
Sunday, August 22, 2021
Bicara Buku 'Hikmah Yang Tersirat(diari seorang diplomat)'-Wan Ahmad Fadzil
Bicara Buku 'Hikmah Yang Tersirat(diari seorang diplomat)'-Wan Ahmad Fadzil
1.Boleh puan cerita tentang latar belakang buku ini dan siapakah Wan Ahmad Fadzil (WAF)?
Buku ini merupakan koleksi catatan blog suami saya iaitu Allahyarham Wan Ahmad Fadzil. Catatan tersebut adalah mengenai pengalaman kami semasa tinggal di Islamabad,Pakistan. Cerita ini mengupas tentang budaya,adat, pemikiran dan amalan beragama di Pakistan.
Wan Ahmad Fadzil merupakan anak kelahiran Setiu. Dibesarkan di Kampung Bari Besar,Setiu. Bersekolah rendah di Sek.Keb.Bari dan SMA Setiu. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang undang-undang. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2005 dan ditempatkan di Kementerian Dalam Negeri di Jabatan Imigresen. Tahun 2009, beliau ditugaskan sebagai Atache Immigresen di Kedutaan Malaysia di Islamabad,Pakistan. Tahun 2011 beliau telah kembali ke rahmatullah.
2. Bermaksud buku ini hasil tulisan Allahyarham di blognya iaitu Nafastari.blogspot.com. Allahyarham seorang penulis yang baik, betul kan? Pernahkah Allahyarham menulis di mana-mana sebelum ini?
Ya, betul. Allahyarham seorang penulis yang baik. Menurut kakak ipar saya( Kak Zu), Allahyarham pernah menulis teks cerita kisah nabi untuk pertandingan bercerita kisah nabi sekolah rendah peringkat daerah Kota Tinggi, memasuki pertandingan mengarang essei sempena hari belia tahun 1999, menulis komen di dalam akhbar, pernah mencuba untuk menulis novel tetapi tidak siap. Dia juga merupakan wakil sekolah dalam acara bahas dan merupakan ketua editor di majalah sekolah dia di SMA Setiu. Pendek kata, dia memang minat menulis sejak kecil.
3. Mungkin puan boleh kongsikan pengalaman manis dan pahit ketika berada di Pakistan? Dan apakah perasaan ketika berada di sana?
Pengalaman manis:
Terlalu banyak pengalaman manis di sana. Kami dapat mengenal budaya orang dan melihat sesuatu di perspekstif yang lain dan berbeza. Selain itu, saya juga dapat melihat tempat-tempat yang bersejarah dan menarik di Pakistan seperti Lahore,Karachi, Muree,Peshawar,Faisalabad dan lain-lain.
Pengalaman paling saya tak boleh lupakan adalah sewaktu salji turun dengan lebatnya di Muree pada tahun 2010. Alhamdulillah, saya dapat melihat antara tanda-tanda kekuasaan dan keindahan ciptaan Allah.
Saya juga melahirkan anak kedua saya di sana. Itu juga antara pengalaman manis saya semasa menetap di Islamabad. Alhamdulillah.
Pengalaman pahit:
Kawalan keselamatan di sana terlalu ketat. Di mana-mana sahaja pasti ada pengawal keselamatan dan askar. Kami di sana harus sentiasa berhati-hati sekiranya ada ancaman bom dan taliban. Namun segala-galanya kami serahkan pada Allah. Orang kata, tawakal sahajalah kerana hidup dan mati kita kerana Allah. Jadi kami walaupun kadang-kadang takut mati dibom tapi kami yakin ajal maut itu ketentuan Allah.
Perasaan di sana, pada mulanya saya takut dan gementar kerana memikirkan soal keselamatan di sana. Namun lama-lama kami berserah dan bertawakal pada Allah. Dengan itu kami dapat hidup seperti orang normal dan tidak lagi ada perasaan takut. Alah bisa tegal biasa.
4. Ketika itu anak-anak berapa usianya? Kenapa di dalam buku ini digunakan nama Mawar, Embun dan Kekwa?
Sewaktu kami mula-mula tiba di Islamabad, anak sulung saya berusia 44hari. Saya masa itu baru lepas pantang bersalin anak pertama. Saya melahirkan anak kedua saya di sana pada tahun 2010.
Kenapa guna nama Mawar, Embun dan Kekwa?
Sebenarnya semua nama itu adalah nama pena dan bukan nama sebenar. Nama pena itu direka oleh Allahyarham bagi merujuk kami dalam penulisan beliau.
Mawar- kerana saya merupakan Mawar kepada Nafastari atau simboliknya bunga kepada kumbangnya.
Embun- kerana nama anak sulung saya Wan Nadaa yang diambil daripada perkataan arab Nada' iaitu maksudnya Embun.
Kekwa- nama anak kedua pula adalah Wan Marwa. Nama singkatannya Wawa. Sewaktu lahir bau Marwa sangat wangi dan ayahnya suka menyebut 'wawa yang wangi.' Oleh itu, dia menggunakan simbolik Kekwa nama bunga sebagau menunujukkan wangi seperti bunga.
5. Apakah keistimewaan buku Hikmah Yang Tersirat?
i. buku ini merupakan wasiat tauhud seorang ayah kepada anak-anak.
ii. Buku ini dapat membuka minda pembaca mengenai kehidupan dan perspektif budaya di negara Pakistan.
iii. Buku ini mempunyai 'hikmah yang tersirat' bagi mereka yang benar-benar menghayati buku ini.
6.Boleh puan ceritakan sedikit bahagian yang paling menarik dalam buku ini? Yang puan paling suka baca dan kenapa?
Bab yang saya paling suka adalah 'Catatan buat anakanda kedua' yang mengisahkan tentang pesanan seorang ayah kepada anaknya. Tulisan itu benar-nenar berharga buat kami bertiga. Di situ dia menerangkan tentang kelahiran anak kami yang kedua sewaktu di Islamabad dan juga terselit wasiat tauhid kepada anak-anaknya supaya berpegang teguh pada ajaran Islam yang sebenarnya.
7. Dalam buku itu puan ada menulis iaitu bab terlahir. Boleh puan ceritakan sedikkt kisah di sebalik Jalan Pulang yang menjadi tajuk itu?
Sebenarnya saya memasukkan bab terakhiritu penulisan saya kerana menurut editor, cerita atau kompilasi blog itu agak tergantung. Tiada pembuka dan penutup. Oleh itu di bahagian permulaan saya menambah sedikit tulisan saya dan bab akhir iaitu Jalan Pulang itu saya tulis di blog saya selepas dua minggu kematian suami saya. Cerita itu ditulis kerana saya menerima banyak soalan yang sama tentang bagaimana kemalangan itu berlaku. Terlalu berat dan payah untuk saya luahkan atau certikan tentang kejadian itu. Oleh sebab itu, saya menulis tentang kejadian itu di blog dan bila orang bertanya,saya akan foward saja penulisan itu pada orang yang bertanya.
8. Apa yang puan ingin kongsi pada pembaca?
Saya berharap pembaca dapat manfaat daripada buku ini dan dijadikan iktibar. Semoga buku ini menjadi jariah yang berterusan kepada Allahyarham. Insya-Allah.
9. Terakhir, soalannya adakah puan terfikir untuk membuat kesinambungan buku?
Sebenarnya buku ini diterbitkan kerana saya ingin memenuhi hasrat dan impian arwah suami saya yang teringin menerbitkan sebuah buku sendiri. Saya berharap penulisan dia ini dapat menjadi jariah yang berterusan buat dia di alam barzakh. Semoga segala amal kebajikan dia kongsi ini dimanfaatkan buat kami sekeluarga dan pembaca. Setakat ini masih belum ada perancangan untuk membuat kesinambungan tetapi mungkin satu hari nanti buku ini boleh diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris pula dan mendapat pasaran antarabangsa. Siapa tahu kan? Insya-Allah.
.
.
.
.
Dan masa berlalu... Takdir dan perancangan Allah itu Maha Hebat, dengan izin Allah terbit juga kesinambungan buku Hikmah Yang Tersirat ini.
SETELAH ENGKAU PERGI, Nur Mawarnafastari 💝
Sunday, June 6, 2021
Anak Manja Mama
Saya ni anak manja mama. Anak bongsu la katakan..mana-mana pergi pun mama mesti ada, kalau tak ada, setiap jam dia akan call tanya "adik, buat apa? Kat mana, masak apa,makan apa..."
Riuh, mak kan.. selalu nak tanya khabar anak, nak tahu anak sihat ke tidak, walau kita dah besar pun dia tetap pandang kita ni macam baby yang dia kena jaga dan beri perhatian.
Masa dulu saya tak faham sebab saya tak jadi seorang mak. Sekarang, bila nak mula jadi mak kepada anak-anak sendiri, saya mula faham dan benar-benar mengerti hati dan perasaan seorang mak.
Mama selalu perhatikan kami, matanya selalu melilau nak tengok kami buat apa masa di rumah. Selalu jenguk pintu bilik kami tengok apa kami buat masa remaja dulu. Selalu telefon bila dia di tempat kerja, nak pastikan anak-anak sihat dan sudah makan.
Balik kerja, mama siapkan keperluan yang lain macam basuh baju, memasak, beli barang dapur. Dah siap selesaikan tugasan rumah, mama akan tidur. Saya selalu menegur, " Mama ni asyik tidur ja.."
Sekarang bila dah jadi mak, bila bekerja dan sendirian kena buat semua kerja, baru saya mengerti yang sebenarnya dulu mama sangat penat. Mama tidur sebab dia terlalu penat menunaikan tanggungjawab dia sebagai ibu nak pastikan anak-anak cukup makan, pakaian bersih dan ada tempat tinggal yang selamat.
Saya baru mengerti, mama jenguk kami di bilik dahulu ingin memastikan kami buat apa. Setiap hari saya pun buat perkara yang sama pada anak-anak saya. Saya jenguk mereka di bilik dan di ruang tamu jika mereka sedang bermain. Saya ingin perhatikan mereka buat apa dan memastikan mereka sihat dan selamat.
Tidak ada sehari pun diri ini tidak memikirkan tentang mama. Tidak ada. Setiap kali saya masak nasi untuk anak-anak, saya akan teringat baiknya mama masak setiap hari untuk kami sewaktu dia masih ada.
Setiap kali saya melihat anak-anak saya, saya akan mula mengingati setiap perlakuan saya dengan mama dahulu. Adakah saya menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Saya kadang selalu merajuk dan memberontak juga. Sabarnya mama dengan perangai anaknya. Kalau mama sabar, saya pun mesti bersabar juga dalam mendidik anak-anak saya.
Doa ibu antara doa yang mustajab. Saya sering melihat mama berdoa dengan lama di atas sejadah.Setiap doanya pasti untuk kami dan sekarang mama sudah tiada. Tidak ada lagi doa ibu yang boleh mendoakan saya. Tapi saya akan tetap selalu mendoakan mama saya.
Setiap kali masak, saya niatkan pahala untuk mama yang mengajar saya untuk masak. Setiap kali saya rasa kecewa,sedih dan buntu dalam membesarkan anak-anak saya doakan pahala untuk mama yang mengajar saya supaya menjadi orang yang kuat dan sabar macam mama.
Sukarnya menjadi diri sendiri, berperang dengan perasaan setiap hari!
Mengingati mereka yang telah pergi tanpa henti dan semoga dengan mengingati mereka ini mendekatkan juga saya pada Pemilik hati.
Allah.
Sungguh, tidak ada kata yang boleh menghilangkan rasa sedih ini selain benar-benar memahami dan menghayati kalimah ini,
Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ)
Riuh, mak kan.. selalu nak tanya khabar anak, nak tahu anak sihat ke tidak, walau kita dah besar pun dia tetap pandang kita ni macam baby yang dia kena jaga dan beri perhatian.
Masa dulu saya tak faham sebab saya tak jadi seorang mak. Sekarang, bila nak mula jadi mak kepada anak-anak sendiri, saya mula faham dan benar-benar mengerti hati dan perasaan seorang mak.
Mama selalu perhatikan kami, matanya selalu melilau nak tengok kami buat apa masa di rumah. Selalu jenguk pintu bilik kami tengok apa kami buat masa remaja dulu. Selalu telefon bila dia di tempat kerja, nak pastikan anak-anak sihat dan sudah makan.
Balik kerja, mama siapkan keperluan yang lain macam basuh baju, memasak, beli barang dapur. Dah siap selesaikan tugasan rumah, mama akan tidur. Saya selalu menegur, " Mama ni asyik tidur ja.."
Sekarang bila dah jadi mak, bila bekerja dan sendirian kena buat semua kerja, baru saya mengerti yang sebenarnya dulu mama sangat penat. Mama tidur sebab dia terlalu penat menunaikan tanggungjawab dia sebagai ibu nak pastikan anak-anak cukup makan, pakaian bersih dan ada tempat tinggal yang selamat.
Saya baru mengerti, mama jenguk kami di bilik dahulu ingin memastikan kami buat apa. Setiap hari saya pun buat perkara yang sama pada anak-anak saya. Saya jenguk mereka di bilik dan di ruang tamu jika mereka sedang bermain. Saya ingin perhatikan mereka buat apa dan memastikan mereka sihat dan selamat.
Tidak ada sehari pun diri ini tidak memikirkan tentang mama. Tidak ada. Setiap kali saya masak nasi untuk anak-anak, saya akan teringat baiknya mama masak setiap hari untuk kami sewaktu dia masih ada.
Setiap kali saya melihat anak-anak saya, saya akan mula mengingati setiap perlakuan saya dengan mama dahulu. Adakah saya menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Saya kadang selalu merajuk dan memberontak juga. Sabarnya mama dengan perangai anaknya. Kalau mama sabar, saya pun mesti bersabar juga dalam mendidik anak-anak saya.
Doa ibu antara doa yang mustajab. Saya sering melihat mama berdoa dengan lama di atas sejadah.Setiap doanya pasti untuk kami dan sekarang mama sudah tiada. Tidak ada lagi doa ibu yang boleh mendoakan saya. Tapi saya akan tetap selalu mendoakan mama saya.
Setiap kali masak, saya niatkan pahala untuk mama yang mengajar saya untuk masak. Setiap kali saya rasa kecewa,sedih dan buntu dalam membesarkan anak-anak saya doakan pahala untuk mama yang mengajar saya supaya menjadi orang yang kuat dan sabar macam mama.
Sukarnya menjadi diri sendiri, berperang dengan perasaan setiap hari!
Mengingati mereka yang telah pergi tanpa henti dan semoga dengan mengingati mereka ini mendekatkan juga saya pada Pemilik hati.
Allah.
Sungguh, tidak ada kata yang boleh menghilangkan rasa sedih ini selain benar-benar memahami dan menghayati kalimah ini,
Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ)
Sunday, May 9, 2021
Bagaimana cara bangkit dari kesedihan kematian?
Ramai selalu tanya saya... macam mana saya boleh lalui kesedihan pemergian orang yang tersayang... dan berapa lama saya ambil untuk move on dan bangkit dari kesedihan?
Saya tiada jawapan untuk itu.
Sungguh sahabat, tiada limit masa bagi setiap kesedihan yang hadir dalam diri kita.
Perasaan itu datang dengan sendiri. Kita kuat kerana Allah memberikan kekuatan buat kita.
Tidak mudah melaluinya..tapi ada sesuatu yang saya ingin kongsi di sini..
Sekiranya kita melihat semula dan merenung kembali sebab kita dilahirkan di dunia.. bagaimana kita bermula dan bagaimana nanti kita berakhir.. kita tidak akan punya masa untuk bersedih lama-lama. Terus memandang 'masa depan' yang lebih panjang tempohnya. Bersediakah kita mengumpul bekalan untuk ke Sana?
Itu menjadi persoalan dan titik mula saya memandang sisi kesedihan ini. Kesedihan ini akan berlalu pergi, kita teruskan hidup yang masih berbaki dengan mengumpul segala bekalan yang kita mampu.
Kerana kita di dunia ini hanya Sementara dan destinasi utama kita idamkan adalah untuk ke Syurga, temui Allah yang kita cinta. ❤
Insya-Allah.🌹
Friday, May 7, 2021
Keliru Sendiri
Kadang aku sendiri keliru dengan perasaan sendiri...
Apa agaknya rasa punya pasangan dan bercerita mengenai perkembangan anak-anak sendiri..
Bercerita dan berkongsi pandangan cara terbaik membesarkan anak-anak bersama-sama.
Aku tidak ada peluang itu. Malah, kalau diberi peluang lain, tidak akan mungkin sama!
Sungguh, dunia kini amat mencabar.
Anak-anak kian masuk ke alam remaja. Semakin besar cabaran untuk dipikul sendirian.
Kadang aku mencari arah tuju sendiri. Bagaimana cara aku mendidik anak-anak ini.
Betulkah, tepatkah, sesuaikah?
Persoalan yang aku sendiri tiada jawapan. Aku tiada teman berkongsi perasaan yang sama seperti kalian yang ada pasangan.
Yang masih ada pasangan, berbincanglah bersama-sama selagi masih punya kesempatan.
Yang pasangan acuh tidak acuh, bersyukur sajalah masih ada si dia mendengar bebelan dan keluhanmu.
Aku di sini masih merintih dan menulis rasa hati. Sukarnya hati meluahkan, maka terzahir dalam penulisan ini.
Tidak, aku tidak mahukan simpati.
Sakit sendiri. Aku sudah biasa begini.
Pinta aku, doakan anak-anak yatimku ini membesar menjadi anak-anak yang solehah dan orang yang Allah sayang.
#mawarthoughts
Friday, April 30, 2021
Setelah Engkau Pergi
Setelah Engkau Pergi sudah terbit!
Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah..Hanya dengan izin -Nya buku ini dapat disiapkan juga walaupun memakan masa bertahun lamanya untuk saya mencari rentak penulisan buku.
Segala catatan pengalaman ibu tunggal ditulis di dalam buku ini. Catatan Mawarnafastari dibukukan dan diterbitkan oleh Bonda Nor Resources.
🌹
Awak,
Buku ini bukan buku cerita dongeng yang direka..
Mungkin ada sikit campur aduk peristiwa dalam cerita, tapi itu kisah benar belaka. Tidak dibuat-buat. Tidak ditokok tambah.
Tulus. Daripada hati saya.
Melontarkan segala emosi dan memori yang saya ada. Tidak mudah kerana saat menulis itu banyak air mata yang telah tumpah.
Setiap bait ditulis merupakan hati saya, hati yang mengingati setiap kebaikan mereka yang telah tiada.
Setiap tulisan jiwa itu membuatkan saya dekat pada Tuhan, kerana dengan menulis saya turut bermuhasabah diri.
Bukan mencanang cerita sendiri, bukan, jauh sekali..
Bukan hendak menyohor ada cinta sejati..bukan... tidak sekali...
Tetapi saya mahu kongsi...hikmah tersirat...
Cinta yang hanya Kekal Abadi... hanya pada Tuhan kita Kembali.
❤
Buku ini bukan buku cerita dongeng yang direka..
Mungkin ada sikit campur aduk peristiwa dalam cerita, tapi itu kisah benar belaka. Tidak dibuat-buat. Tidak ditokok tambah.
Tulus. Daripada hati saya.
Melontarkan segala emosi dan memori yang saya ada. Tidak mudah kerana saat menulis itu banyak air mata yang telah tumpah.
Setiap bait ditulis merupakan hati saya, hati yang mengingati setiap kebaikan mereka yang telah tiada.
Setiap tulisan jiwa itu membuatkan saya dekat pada Tuhan, kerana dengan menulis saya turut bermuhasabah diri.
Bukan mencanang cerita sendiri, bukan, jauh sekali..
Bukan hendak menyohor ada cinta sejati..bukan... tidak sekali...
Tetapi saya mahu kongsi...hikmah tersirat...
Cinta yang hanya Kekal Abadi... hanya pada Tuhan kita Kembali.
❤
Friday, July 24, 2020
Dua belas tahun Mawarnafastari
Kenangan mengusik jiwa..
Hari ini hari bahagia, mengingati kenangan lama, saat saya menjadi suri hatinya.
Siapa sangka bahagia itu sementara, walaupun pernah diberitakan, namun bila sampai saat bahagia itu terhenti, maka diri kembali bermuhasabah. Sungguh Tuhan telah Mengingatkan, dunia ini hanya permainan dan senda gurau bagi yang lalai. Hakikatnya, kita cuma hamba yang perlu sentiasa ingat Tuhan.
Bahagia itu pun nikmat daripada-Nya. Dia beri rasa indah itu untuk kita merasainya. Sekali ditarik nikmat hidup berdua, tetapi diberi kemanisan untuk sabar sepanjang usia. Sabar itu cantik, dan syukur itu perlu selalu!
Kenangan dicipta memberikan memori indah buat saya. Telah 12 tahun mengikat janji dengannya menjadi isteri untuk dia sehingga akhir nyawa di dunia. Tidak pernah menginginkan yang lain dari dirinya dan Allah jua lebih Mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya.
Semoga tetap terus bermuhasabah diri sempena ulangtahun Perkahwinan ini, bahagia dunia itu cuma sementara, yang kekal cuma bahagia di Akhirat nanti.
Salam Sayang buat suamiku, dunia dan akhirat.
12 tahun dan seterusnya hanya buat Mawar&Nafastari.
I Love You, Only You. Allahyarham W Ahmad Fadzil
Kau berdiri melihat langit biru,
aku terduduk menangisi nasibku tanpa dirimu,
Tuhan temukan aku dengan kamu,
untuk aku lebih mengenali Tuhanku.
Subhanallah, terima kasih atas memori dan kehidupan ini.
Sabar itu cantik!
❤️
#mawarmenulis
28December2019
Monday, July 20, 2020
Mama pergi di bulan Disember, 2014
Salam,
I'm back!
nak back on track again what i have missed.
cerita santai-santai saja di sini ya.
Al kisah kehidupanku setelah berpindah semula ke Shah Alam.
Tahun 2014- Julai, saya dapat tukar semula ke Shah Alam dan tinggal di rumah mama dan papa saya.
Tahun 2014- December,
Mama saya meninggal dunia. Bermulalah kisah hidup saya yang baru. Kehidupan tanpa Mama, kehidupan di Shah Alam dengan nafas baru dan kehidupan sebagai seorang ibu yang anaknya mula bersekolah. Embun sewaktu itu 6 tahun, belum sempat Mama lihat cucunya pergi ke sekolah rendah. Dulu saya pernah merancang dengan Mama, nanti Embun sekolah, Tok Mama akan tunggu di rumah dan tengok cucunya naik van sekolah. Saya pula sudah memberitahu Tok Mama supaya jangan bersusah payah masak masakan tenghari, saya akan cuba untuk menyiapkan makanan untuk Mama dan anak-anak sebelum ke sekolah.
Kita manusia hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukan. Perginya Mama pada tahun itu mematikan segala impian saya ingin melihat Tok Mama bersama cucu-cucunya menunggu van sekolah. Terlalu banyak rancangan manusia buat, dan terlupa akan hakikat sebenarnya semuanya dengan izin Tuhan.
Kun Faya Kun. Allah Kata Jadilah ia, maka Jadilah.
Seminggu dan seterusnya minggu-minggu tanpa Mama di sisi agak muram dan suram. Saya akur ketentuan Ilahi, menerima dengan hati yang rapuh namun pasrah dan redha. Saya yakin Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kami. Allah tetap Jaga kami walau Mama tidak di sisi. Kenyataan hidup yang Allah beri lagi untuk saya lebih memahami bahwa kehidupan ini letaknya pergantungan secara total pada-Nya semata-mata.
Saya dan kakak saya mengukir impian dan menyibukkan diri dengan tugasan dan kerja harian kami supaya kami tidak terbawa-bawa dengan kesedihan yang menimpa kami. Sungguh bukan mudah menerima hakikat orang yang paling rapat pergi sekelip mata.
Saya sendiri, telah mengalami keperitan itu dua kali dan dua kali juga rasa yang berbeza. Pemergian ibu dan suami masing-masing punya nilai yang berbeza. Saya akur kerana semua ini Pinjaman Tuhan.
Kasih sayang manusia itu Pinjaman dariNya.
Kita cuma hamba yang menagih dan ingin berkasih sayang, yakini Allah, maka kasih dan sayang Allah lah yang kita seharusnya terus tagih dan cari.
Allahu, ampunkan segala dosa-dosaku..terlalu banyak kesilapan dan kekurangan diri ini ..
memang benar kata-kata yang saya pernah baca,
"Manusia itu sebenarnya tidur, dan benar-benar bangun apabila mati."
Thursday, July 16, 2020
Impian dan azam baru
Hidup tanpa impian umpama kehidupan yang tidak ada arah tuju.
Semua orang punya impian, jika tiada, binalah impian itu supaya kita akan terus bergerak maju ke depan.
Impian orang Islam mahu masuk Syurga.
Oleh itu, semua yang impikan masuk Syurga kena berusaha mencapai sampai dapat masuk nanti. InshaAllah,
Saya masih terus dengan impian saya untuk membina kehidupan yang lebih indah bersama kedua puteri comel saya.
Embun dan Kekwa.
Alhamdulillah, mereka sudah besar, makin meningkat remaja.
Embun sudah 11 tahun manakala Kekwa 10 tahun.
Pejam celik, masa berlalu dengan begitu pantas dan tidak saya sedari terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya.
Saya berhenti menulis blog kerana mungkin laman media sosial lebih mudah di akses sebelum ini.
Semakin lama, media itu semakin meluas, kadang hak bersuara saya sebagai penulis yang suka melontarkan rasa hati ini kadangkala mungkin membuatkan orang yang berkawan dengan saya di muka buku agak muak dengan posting saya di sana.
haha. bukan mereka kata, cuma sangkaan saya. Maafkan saya, saya cuma rasa mungkin terbaiknya saya bercerita semula di sini.
Seperti mana dahulu saya selalu berkongsi di sini, lebih santai dan mesra dengan papan kekunci.
Oh ya, saya juga sebenarnya baru membeli sebuah laptop khas untuk saya menulis di sini. Saya sudah mempunyai satu impian baru iaitu selalu menulis sehingga saya mampu membukukan penulisan saya sendiri nanti. InshaAllah.
Kalau sahabat mengikuti cerita saya, saya kurang menulis di blog selepas kematian Mama saya.
Perlahan-lahan saya akan kongsikan di sini ceritera hati saya selepas kematian Mama.
Pemergian orang yang kita sayang memang amat menyakitkan, tapi saya redha dan pasrah kerana semua milik Tuhan.
Kita semua hanya Pinjaman.
Binalah impian dan azam baru untuk kita terus bergerak ke hadapan.
Fighting!
Tuesday, July 14, 2020
Mawar Menulis
Kembali menulis semula di sini.
Laman blog yang aku rindui..
Tempat meluah segala rasa rindu yang bersarang di hati.
Aku masih tetap sama seperti dulu,
menulis lagi meluah rindu dan melepaskan sebak di hati.
Lama sudah aku menyepi dari tulisan hati,
kerana sibuk dengan tugasan harian yang tidak pernah habis.
Laman mukabuku menjadi medan aku berkongsi cerita, namun jarang sekali aku berkongsi rasa.
Mungkin dengan menulis di ruang ini aku lebih yakin dan selesa,
menceritakan hal aku , tentang hati aku dan tentang rindu aku.
Siapa sudi membaca tulisan aku, terima kasih diucapkan,
kerana masih sudi mendengar cerita aku yang tak habis-habis merindu.
Selamat kembali ke lamanku,
Mawar Nafastari kembali di sini dengan wajah dan rasa yang baru.
Wednesday, June 24, 2020
Mawar Rindu
Aku rindu memandang wajah redupmu.
Kamu tetap selamanya Ayah buat anak-anak kita.
Meskipun kau tidak lagi ada di alam nyata, kau selalu ada di hati kami bertiga.
Ayah Embun dan Kekwa.
Semoga berbahagialah dikau di sana.
Semoga kita bertemu kembali di Satu hari yang Pasti.
#mawarmenulis
#MawarRindu
Hasbunallah wanikmal wakil
Kebanyakkan masa saya hanya kami bertiga.
Embun, Kekwa dan saya.
kehidupan yang saya sendiri memilihnya, untuk terus membesarkan anak-anak sendirian, saya juga memilih untuk duduk sendiri di rumah kecil untuk kami bertiga berteduh.
Sejak mama meninggal, banyak yang berubah, saya memilih untuk terus berjalan dan membina impian bersama anak-anak saya. Allah memberikan saya kekuatan dan kesabaran untuk saya terus melangkah.
Membesarkan anak perempuan bukan mudah. Soal takut dan risau itu memang lumrah, namun saya letakkan harapan dan doa saya selalu amalkan,
🌹
حَسْبُنَا اللّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
"Hasbunallah wa ni'mal wakil."
Hasbunallah wa ni'mal wakil ni'mal maula wa ni'mal natsir
"Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."
🌹
بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيم
bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama'ie wa huas sami'ul 'alim
Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Taaruf
Berjumpa kenalan baru lagi, sekali lagi taaruf mengenai diri diulangi..
"suami kerja mana?" dia menyoal seperti biasa. Tiada yang luar biasa dengan soalan itu kerana memang biasa dengan perbualan begitu.
"suami saya sudah meninggal.." saya menjawabnya dengan menahan sebak di dada.
Lidah masih lagi kelu dan kesah menjawabnya.
Sudah tahun ke sepuluh dia pergi pun masih lagi tidak tertanggung rasa ini. Bukan tidak redha, tetapi perasaan itu berat,
Rindu. Menyakitkan.
Allah lebih Tahu.
Cebisan kisah - pesanan masuk (inbox)
"Hai..."
pesanan masuk di Mesengger.
Saya melihat profile FB nya. Lihat gambarnya, tidak pernah kenal. Lelaki mana ini.
Oh abaikan saja.
Pesanan itu tidak berbalas dan dibiarkan sepi begitu saja.
"Hi, awak buat apa tu?"
Pesanan masuk lagi.. kali ini, orang lain pula. Saya lihat gambar profil di FB nya. Lelaki dan ada mutual friend. Ramai juga mutual friend , tetapi saya tidak pernah mengenalinya.
Saya tidak membalas pertanyaannya.
Cukup sampai di situ, demi menjaga hati saya dan hati dia. Perbualan harus dielakkan untuk menjaga hati kedua-dua pihak.
Ting!
Pesanan yang lain pula masuk,
"Baya buat apa sekarang, duduk di mana?"
"Anak-anak sihat?"
kali ini pesanan dari orang yang pernah saya kenal dan rapat sebelum ini. Lelaki juga. Saya keliru harus membalasnya atau tidak. Di sini ujian hati bermula. Dilayan salah, tidak melayan pun rasa serba salah.
Akhirnya saya membalas.
"Alhamdulillah, saya dan anak-anak baik-baik saja."
Kemudian dia mula bertanya soalan yang lainnya,
tetapi saya membiarkan soalan itu tidak berjawab. Diam dan sepi begitu saja.
Ya, semoga itu lebih baik untuk saya menjaga hati saya dan hati dia..
Ini hanya cebisan kisah saya sepanjang menjadi balu.
Tidak mudah menjaga hati dan menjaga diri, namun selalu di dalam hati berdoa semoga Allah pelihara dan jaga perilaku saya.
اللَّـهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي
“AlLahumma kama hassanta khalqi, fa hassin khuluqi.”
Ya Allah sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku.
#mawarmenulis
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Seronok sekali apabila en suami memberitahu bahawa dia akan berkursus di Malaysia pada bulan Februari. Kami tidak menjangkakan akan pulang k...
-
i got the job! :) tadi pergi interview...ada lebih 20 kot candidate tadi... lama menunggu,, tp saya orang yang 1st skali datang...pagi2 ke...