Bermula daripada bawah, akaun simpanan di bank hanya rm50, tiada simpanan tetap dibuat kerana baru setahun dua usia perkahwinan dan hanya seorang surirumah dan tidak pernah bekerja. Itulah saya, pada tahun 2011.
Kehilangan suami membuatkan saya terkapai-kapai, mencari arah dan petunjuk jalan untuk mengemudi dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak yang ditinggalkan. Urus tadbir harta anak-anak yatim bersama dengan peninggalan sedikit wang simpanan di akaun bank Ahmad. Tanggungjawab yang besar dan mencabar bagi saya. Namun saya cuba sedaya upaya melakukannya dengan sebaik yang mampu.
Kami bukan daripada keluarga kaya dan mewah. Ahmad latar belakangnya anak kampung baru bermula kerjayanya di luar negara, nampak seperti jawatan besar namun ianya cuma tanggungjawab besar yang diamanahkan. Bekerja bukan mengejar pangkat dan harta, tapi untuk meneruskan kehidupan dan berbakti kepada orang sekeliling.
Saya pula, juga bukan orang kaya mahu pun daripada keluarga kaya, pengalaman hidup keluarga mengajar saya erti naik turun hidup ini. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadangkala kita di bawah, kadangkala kita di atas. Papa pernah mewah namun Papa juga pernah muflis. Satu kenangan dan pengalaman indah yang tak mungkin saya lupakan. Pengalaman ini mencorak pemikiran dan gaya hidup saya. Saya belajar erti berjimat cermat serta mengawal diri untuk membeli sekadarnya. Mengikut keperluan diri dan peruntukkan yang ada sahaja.
Persiapan diri perlu dibuat untuk menghadapi kemungkinan hari mendatang. Saya sendiri agak ralat kerana tidak pernah menyimpan wang semasa di awal perkahwinan kami. Namun masa tidak boleh berputar kembali, apa yang saya lakukan adalah berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi.
Sebelum menyimpan dan membuat perancangan kewangan, saya belajar daripada buku penulisan berkaitan kewangan, cara mengurus kewangan, buku berkaitan pengurusan harta anak-anak yatim dan faraid. Sungguh sebelum kematiannya ilmu saya amat sedikit, saya tidak cakna perihal pengurusan kewangan. Setelah ujian menimpa, saya tercari-cari arah dan jalan untuk perbetulkan semula keadaan ekonomi keluarga kami demi untuk membesarkan kedua orang puteri saya.
Saya tidak kisah digelar ulat buku, pembaris dan terlalu mengikut buku. Saya hidup untuk membetulkan apa yang silap di masa lalu dan untuk kehidupan masa akan datang. Tanpa ilmu, saya tidak mungkin mampu membuatnya dengan betul.
Saya ringkaskan di sini isi-isi penting yang saya perolehi dari pembacaan saya mengenai pengurusan kewangan dahulu. Bukunya terlalu banyak dan saya hampir lupa tajuknya. Tapi saya huraikan isi penting dan apa yang telah saya pratikkan selama ini.
ini sesuai bagi yang baru hendak bermula dari bawah.
Pertama
Senaraikan bajet atau peruntukkan kewangan anda. Mulakan dengan perbelanjaan yang harus ditanggung setiap bulan. Senaraikan satu per satu keperluan kita. KEPERLUAN sahaja bukan kehendak ya! Bajet selalunya harus lebih daripada perbelanjaan sebenar untuk mengelakkan berlakunya kekurangan wang di tangan.
Kedua
Bila sudah tahu bajet yang diperlukan setiap bulan, rancang perolehan yang perlu kita ada. Tetapkan perolehan (income) yang perlu kita perolehi untuk menampung perbelanjaan keperluan bulanan kita itu.
Mula bertindak untuk berusaha mencapai jumlah perolehan itu. Semoga berjaya, dan yang penting percaya bahawa Allah Pemberi rezeki, kita kena usaha dan selalu berdoa kepadaNya.
Baiklah, cara yang lain pula bagi yang sudah ada kerjaya dan perolehan tetap. Caranya kena terbalik dengan di atas.
Pertama.
Ambil tahu berapa perolehan bulanan anda.
Kedua.
Senaraikan keperluan bulanan anda dan buat bajet bulanan. Bajet ini harus merangkumi keperluan, simpanan dan sedikit kehendak.
Ketiga.
Peruntukkan income yang anda ada untuk tujuan zakat, simpanan, insurans, wang kecemasan dan derma kilat.
untuk simpanan, saya gunakan cara membuka akaun bank yang berlainan dengan akaun gaji. Akaun itu haruslah akaun yang anda jarang sentuh dan kad bank akaun itu disimpan diam-diam serta tidak ada online banking bagi bank tersebut. Biar susah nak ambil supaya takde gatal tangan nak guna. 😂
cara lain juga, simpanan melalui insurans takaful, cara ini lebih mudah dan bersifat jangka panjang. Memang kita tak akan nampak duit simpanan itu, tapi percayalah, satu masa bila simpanan itu matang, kita akan ada simpanan masa hadapan.
Jangan lupa juga, simpanan untuk tabung haji. Berazam untuk pergi haji tapi tak pernah menyimpan untuk pergi haji. Seolah-olah nak minum air sebab dahaga, tapi tak pergi ambil air, Mana nak hilang hausnya. 😂
Wang derma kilat juga harus dibuat kerana kita tidak tahu, setiap bulan pasti ada yang memerlukan, tidak peminta sedekah, adik-beradik atau kawan-kawan yang terdesak memerlukan pertolongan. Tolong selagi kita mampu dan ada. Mungkin hari ini kita tolong dia, esok hari kita, ada orang lain akan datang menolong kita. Cuma jangan kita mengharapkan orang yang sama kita tolong itu akan menolong kita bila kita memerlukan dia. Sifat memberi ini harus ikhlas, tidak mengharapkan balasan dan semata-mata kerana Allah dan kasih sayang manusia. Allah pasti akan menolong kita dengan pelbagai cara apabila kita tidak berkira menolong orang. InshaAllah.
Kita juga harus belajar untuk memikirkan untuk melabur sumber kewangan yang kita perolehi dengan membeli aset. Rumah misalnya atau pun emas. Kedua-dua ini bersifat pelaburan jangka panjang.
Kenapa perlu memikirkan jangka panjang walaupun kita tahu akhirnya kita semua akan MenemuiNya, bila meninggal anak Adam, hanya tinggal tiga perkara ilmu bermanfaat, amal jariah dan doa anak yang soleh. Kita tinggalkan aset yang selesa dan kehidupan yang baik buat anak cucu kita supaya mereka dapat menyambung ibadah kita dengan memperbanyakkan sedekah. Semoga itu pahala jariah yang berpanjangan buat kita bila kita meninggal nanti. Aset yang ditinggalkan, anak-anak kita gunakan untuk kelangsungan hidup mereka dan jika mereka melabur untuk membuat sedekah jariah, semoga pahala itu juga turut mengalir buat kita di alam kubur nanti. Sebab itu pentingnya mengumpul aset dunia juga. Subhanallah. Sungguh, hidup ini kita saling memerlukan walaupun kita berbeza alam.
Itu serba sedikit ilmu yang saya belajar melalui pembacaan buku pengurusan kewangan peribadi dan tarbiah rohani. Semoga bermanfaat hendaknya dan penulisan ini menjadi peringatan buat diri saya sendiri juga.
Sabar itu cantik 🌹
#mawarmenulis
#tipskewanganperibadi
No comments:
Post a Comment